BEKAS GRADUAN AKADEMI UNITED & KRW FC SAH SERTAI DIVISYEN 5 ENGLAND

Altrincham mengukuhkan jentera tengah mereka selepas menandatangani pemain sayap berpengalaman, Otis Khan, dengan kontrak selama 18 bulan.


Dilahirkan di Ashton-under-Lyne, Khan yang pernah mewakili Pakistan sebanyak 12 kali di peringkat antarabangsa memiliki lebih 200 penampilan dalam Liga Bola Sepak England. Pemain berusia 30 tahun itu terkenal sebagai pemain sayap yang produktif dan turut mampu beraksi di posisi tengah.


Ketua jurulatih Altrincham, Neil Gibson, menyifatkan Khan sebagai pemain berpengalaman, berkarakter kepimpinan dan serba boleh, selain mampu memberi impak besar di dalam dan luar padang. Gibson turut menegaskan Khan cepat menyesuaikan diri serta membawa kualiti teknikal dan kefahaman taktikal yang diperlukan pasukan.


Khan merupakan graduan akademi Manchester United sebelum menyertai Sheffield United dan pernah beraksi bersama beberapa kelab termasuk Barnsley, Yeovil Town, Mansfield Town, Tranmere Rovers, Walsall, Leyton Orient dan Grimsby Town. Beliau turut beraksi dalam final EFL Trophy 2021 di Wembley serta membantu Grimsby mara ke suku akhir Piala FA 2022/23.


Musim lalu, beliau bersama Oldham Athletic sebelum dipinjamkan ke Yeovil, dan baru-baru ini beraksi di luar negara bersama kelab Malaysia, Kelantan Red Warrior.


Altrincham menyambut kehadiran Khan dengan harapan beliau mampu memberi sumbangan besar sepanjang tempoh bersama kelab.

Post a Comment

Previous Post Next Post