KRW FC TETAPKAN GAJI PARA PEMAIN HANYA BAWAH RM 10,000 SAHAJA

Kelantan Red Warriors (KRW) FC mengambil langkah proaktif dengan menetapkan gaji siling dalaman bagi pemain tempatan, iaitu di bawah RM10,000 sebulan, sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan dan mengelakkan isu tunggakan gaji.

Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, menjelaskan bahawa langkah ini selari dengan kemampuan kelab yang akan bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro, dengan bajet keseluruhan pasukan ditetapkan sekitar RM3 juta.

“Kami sudah maklumkan kepada pemain, ini sahaja kemampuan kami. Kalau setuju, mereka kekal. Kalau tidak, kami hormati keputusan mereka. Import mungkin berbeza, tapi untuk pemain tempatan, kami kawal perbelanjaan,” katanya.

Dalam usaha menjadi kelab yang mampan, KRW FC turut memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk laman web rasmi, program keahlian kelab 2025/2026, dan program perkongsian tajaan.

Nik Hafiz turut menjelaskan bahawa konsep perkongsian kelab ini diilhamkan dari model kelab bola sepak Jepun, yang membuka ruang kepada penaja kecil serendah RM5,000 hingga RM20,000 untuk menyumbang kepada kelab.

“Kami lihat kelab Jepun berjaya dengan cara ini. Jadi kami ambil inspirasi untuk terapkan konsep serupa di KRW FC,” ujarnya.

Dengan perancangan jangka panjang serta kepimpinan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, KRW FC bersedia mengharungi musim baru dengan lebih tersusun dan berdisiplin dari segi pengurusan kewangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post