Malaysian Football League (MFL) dalam kemaskini terbaharu telah menjelaskan bahawa keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan adalah berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.
MFL dalam kenyataan rasmi hari ini berkata, FIB mengambil maklum kenyataan yang dikongsikan oleh kelab Liga Super melalui media sosial baru-baru ini berkenaan tarikh akhir penyerahan dokumen Pelesenan Kelab untuk kitaran 2024-2025 bagi Lesen Kebangsaan.
“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuatnaik dokumen sebelum atau pada 30 April 2025 dalam sistem pelesenan AFC CLAS dan mematuhi tarikh akhir asal yang telah ditetapkan.
“Namun begitu, atas permohonan daripada beberapa kelab yang dikemukakan secara bertulis, pihak FIB telah pertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir selewat-lewatnya sebelum atau pada 30 April 2025.
“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8 (a), yang menyatakan bahawa "The decision-making bodies must operate according to the principles of natural justice and must as a minimum regulate the following standards: deadlines (e.g. submission deadline, etc.);" serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap permohonan dan kes yang dikemukakan,” jelas MFL.
Dengan lanjutan masa itu, MFL berharap agar kelab-kelab terlibat dapat memuatnaik dokumen selewat-lewatnya pada tarikh akhir baharu iaitu sebelum atau pada 10 Mei 2025.
Post a Comment