PUSAT LATIHAN BAHARU NSFC BAKAL DIBINA DALAM MASA TERDEKAT

Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat sedang giat merancang langkah strategik bagi memperkukuh asas kelab apabila memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur stadium serta pembinaan pusat latihan sendiri.


Menerusi satu muat naik di Instagram Story peribadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus, beliau telah berkongsi gambaran awal mengenai pusat latihan baharu yang bakal dibina khusus untuk kegunaan pasukan Negeri Sembilan FC.


Menurut Faliq, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah memberikan kelulusan terhadap projek tersebut dan proses pembinaan dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.


Dengan pembinaan pusat latihan ini, NSFC bakal menjadi pasukan Liga Super keempat yang memiliki pusat latihan sendiri selepas Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.


Dalam masa yang sama, gelanggang rasmi NSFC, Stadium Tuanku Abdul Rahman, turut berada dalam proses penambahbaikan fasiliti bagi meningkatkan keselesaan pemain, pegawai pasukan serta penyokong.


Usaha berterusan ini mencerminkan kesungguhan pengurusan NSFC dalam membina kelab yang lebih stabil dan berdaya saing, bukan sahaja di atas padang, malah dari sudut pengurusan dan pembangunan jangka panjang.

Post a Comment

Previous Post Next Post