
Terengganu Football Club (TFC) secara rasmi memperkenalkan dua pemain import baharu dari Tajikistan, Ehsoni Panshanbe dan Mabatshoev Shervoni, bagi memperkuatkan skuad menjelang saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026.
Ehsoni Panshanbe, 27, yang beraksi di posisi tengah, menyertai TFC selepas berkelana bersama kelab terkemuka Tajikistan, FC Istiklol. Pemain kebangsaan Tajikistan itu dibawa masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nurillo Tuktasinov dan dijangka memainkan peranan penting dalam memberikan kestabilan, kreativiti serta kawalan tempo permainan di bahagian tengah. Beliau telah menandatangani kontrak selama satu tahun bersama TFC.
Sementara itu, Mabatshoev Shervoni, 26, turut sah menyertai pasukan sebagai pemain import baharu untuk memperkukuhkan jentera serangan. Pemain sayap kebangsaan Tajikistan itu tiba dari FC Regar TadAZ dan akan menyarung jersi bernombor 88. Kehadirannya dijangka menambah keseimbangan serta variasi serangan pasukan sepanjang musim ini. Shervoni juga menandatangani kontrak selama satu tahun bersama Terengganu FC.
Pengurusan Terengganu FC yakin pengalaman dan kualiti yang dimiliki oleh kedua-dua pemain mampu memberi impak positif serta memperkukuhkan struktur pasukan dalam menghadapi cabaran Liga Super Malaysia musim 2025/2026.
Post a Comment