
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa individu tertentu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab berhubung keputusan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.
Menerusi hantaran di media sosial, baginda mendakwa terdapat ‘orang dalam’ FAM yang cuba menjalankan kempen sabotaj bagi menjadikan baginda sebagai kambing hitam dalam isu berkenaan. Menurut baginda, individu terbabit dipercayai sudah lama tidak berpuas hati kerana gagal memanipulasi kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.
Baginda turut mendedahkan bahawa ada pihak daripada badan induk bola sepak negara itu pernah berjumpa untuk meminta bantuan mendapatkan projek serta memohon pertolongan supaya tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ramai yang kecewa apabila kerajaan menyalurkan dana kepada pasukan kebangsaan kerana ada pihak yang tidak terlibat. Mereka kemudian secara senyap berjumpa penyokong, pengamal media dan beberapa individu di media sosial untuk memulakan kempen sabotaj,” titah baginda.
Khamis lalu, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan pemain.
Mengulas perkara itu, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan isu sebenar bukan berkaitan kelayakan kerakyatan pemain, sebaliknya berpunca daripada pemalsuan serta penyerahan dokumen yang tidak sah.

Baginda mempersoalkan tindakan ejen pemain dan individu tertentu dalam FAM yang didakwa gagal menyerahkan dokumen sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Menurutnya, kegagalan itu menyebabkan pemain dipersalahkan bagi melindungi pihak tertentu.
Dalam masa sama, baginda turut mempersoalkan pendekatan FIFA yang didakwa tidak konsisten dalam mengendalikan kes berkenaan berbanding kes CAS sebelum ini.
Sehubungan itu, baginda menegaskan bahawa individu dalam FAM yang terlibat perlu tampil bertanggungjawab dan tidak menjadikan penyokong serta media sebagai alat untuk menyalahkan pihak lain.
Post a Comment