Kelab Machan FC sah menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 selepas mengharungi 22 perlawanan musim ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, yang memaklumkan pihaknya telah menerima surat rasmi penarikan diri kelab itu pada 3 April 2026.
Menurut beliau, AFL telah cuba membantu Machan FC menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun pihak pengurusan kelab tetap dengan keputusan untuk menarik diri. Susulan itu, AFL terpaksa menerima keputusan tersebut dengan berat hati.
Kesan daripada penarikan diri ini, semua keputusan perlawanan yang melibatkan Machan FC sebelum ini dibatalkan dan dianggap tidak sah, termasuk mata serta jaringan gol. Selain itu, semua perlawanan yang dijadualkan membabitkan pasukan itu juga dibatalkan.
Walaupun berdepan situasi ini, perjalanan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 akan diteruskan seperti yang dirancang.
Dalam masa sama, Machan FC dikenakan hukuman penggantungan selama satu musim bagi edisi 2026/2027 serta denda sebanyak RM20,000. Kes ini turut akan dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan tatatertib lanjut.
Post a Comment