MFL GUNA PENGADIL IMPORT UNTUK FINAL PIALA MALAYSIA 25/26

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan penggunaan pengadil luar negara bagi mengadili Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2025-2026 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.


Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil dan seorang pengadil VAR.


Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi selain menjamin integriti dan kelancaran aksi final berprofil tinggi itu.


Tambahnya, kehadiran pengadil antarabangsa juga mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan pengadil tempatan menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran.


Keputusan itu dibuat susulan cadangan penggunaan pengadil luar negara yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu.


Final edisi ke-99 Piala Malaysia kali ini bakal menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kuching City FC yang berjaya melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Post a Comment

Previous Post Next Post