ULTRAS MALAYA BOIKOT AKSI HARIMAU MALAYA, TUNTUT 3 PERKARA DILAKSANAKAN SECEPAT MUNGKIN

Kumpulan penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, mengeluarkan satu kenyataan rasmi menggariskan tiga tuntutan utama demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih telus dan berintegriti.


Dalam kenyataan tersebut, mereka menuntut:


  1. Penarikan balik kerakyatan tujuh pemain,
  2. Pemulangan pengurusan Harimau Malaya kepada badan induk,
  3. Pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam sistem bola sepak negara.

Susulan itu, Ultras Malaya sebulat suara mengumumkan pelaksanaan Boikot Fasa 1, iaitu memboikot semua perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.


Mereka turut menetapkan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk semua tuntutan dipenuhi oleh pihak berkaitan. Menurut mereka, langkah ini penting bagi memastikan bola sepak negara bebas daripada kepentingan sempit, kelemahan tadbir urus serta kerosakan sistem yang berpanjangan.


Sekiranya tiada tindakan diambil dalam tempoh tersebut, Boikot Fasa 2 akan dilaksanakan. Fasa ini dijangka lebih menyeluruh dan melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.


Ultras Malaya menegaskan bahawa tindakan ini bukan bermotifkan kebencian terhadap pasukan kebangsaan, sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan bola sepak yang adil, telus dan berprinsip. Mereka juga menolak sebarang bentuk eksploitasi bola sepak untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak.


Kenyataan itu diakhiri dengan seruan tegas:

“Demi Malaysia, kembalikan bola sepak kepada rakyat.”


Perkembangan ini dijangka memberi impak besar kepada sokongan penyokong serta hala tuju bola sepak negara dalam tempoh terdekat.

Post a Comment

Previous Post Next Post