
Persatuan Bolasepak Malaysia mengumumkan bahawa kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025 hingga 2029 hari ini telah meletakkan jawatan secara kolektif dan sukarela dengan serta merta.
Keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi. Ia merupakan langkah berprinsip susulan situasi semasa yang telah menarik perhatian umum, selaras dengan keperluan untuk melindungi integriti FAM.
Peletakan jawatan ini bertujuan untuk mencapai beberapa objektif utama iaitu
• Menjaga reputasi dan kepentingan FAM serta mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
• Menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti khususnya dalam memelihara keyakinan awam.
• Memberi ruang kepada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia untuk menilai dan meneliti hal ehwal tadbir urus serta pentadbiran FAM secara bebas.
• Memastikan sebarang pembaharuan dapat dilaksanakan tanpa gangguan, konflik persepsi atau kekangan kepercayaan.
• Membuktikan bahawa kepentingan bola sepak negara mengatasi tempoh jawatan walaupun mandat empat tahun telah diberikan dan jawatan dilepaskan secara sukarela selepas 11 bulan dipilih.
• Memulihkan keyakinan penyokong, pihak berkepentingan, rakan strategik dan komuniti bola sepak secara menyeluruh demi kestabilan dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia.
Jawatankuasa Eksekutif turut menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada FIFA, AFC serta semua pihak berkepentingan walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan, demi kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.
Post a Comment