Dunia bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita besar apabila pertahanan tengah kelahiran Argentina, Facundo Garcés, secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pemain berusia 25 tahun itu kini sah menyertai senarai pemain senior negara selepas melengkapkan semua proses dokumentasi dan kelayakan yang diperlukan. Kehadirannya dilihat sebagai satu suntikan pengalaman dan kekuatan baharu buat barisan pertahanan Malaysia, khususnya menjelang perlawanan penting dalam kempen Kelayakan Piala AFC.
Facundo, yang sebelum ini beraksi bersama kelab La Liga, Deportivo Alavés, serta pernah mencipta nama di liga utama Argentina, membawa bersama reputasi sebagai pemain yang tenang, matang dan memiliki kepimpinan yang tinggi di atas padang.
Ketua jurulatih negara, Peter Clamovski, menyambut baik kehadiran Garcés:
"Facundo merupakan seorang pemain berperwatakan hebat. Dia adalah pertahanan yang tenang dan penuh keyakinan. Personalitinya disenangi ramai, dan pengalaman antarabangsa yang dimilikinya pasti memberi kelebihan kepada pasukan.”
“Paling penting, dia sangat bersemangat untuk menyarung jersi Malaysia dan membanggakan negara ini."
Dalam satu kenyataan kepada media, Garcés turut melahirkan rasa bangga dan keterujaannya untuk mewakili Malaysia:
"Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan yang luar biasa.”
“Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan, dan sokongan ikhlas dari semua pihak. Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara berdiri bersama kami.Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia."
Facundo Garcés kini berada dalam kem latihan pusat Harimau Malaya sempena jendela antarabangsa FIFA, dan dijangka membuat penampilan pertamanya dalam perlawanan penting menentang Vietnam yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Post a Comment