Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/2026 selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memaklumkan bahawa kegagalan ini berpunca daripada isu pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada para penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab atas kegagalan berkenaan.
“Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab penuh dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan kelab,” ujar beliau.
Pihak KDA FC juga memaklumkan bahawa rundingan akan diadakan bersama pihak yang terkesan untuk menyelesaikan tunggakan yang masih belum dijelaskan.
Dalam masa yang sama, kelab sedang mempertimbangkan beberapa alternatif agar terus relevan dalam landskap bola sepak negara. Ini termasuk penyertaan di platform lain yang selari dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula pasukan.
Mengakhiri kenyataan, Tan Sri Dr Mohd Daud menyifatkan situasi ini sebagai "fasa hibernasi Sang Kenari" dan menyeru para penyokong agar terus memberi sokongan dalam tempoh sukar ini.
“Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk bangkit semula dengan asas yang lebih kukuh,” katanya.
Post a Comment