TRENDING

MENJELANG PIALA AFF, SNBJ BAKAL DIUJI DENGAN 3 KONSERT MEGA


Gelanggang keramat buat skuad Harimau Malaya sekali lagi bakal diuji dengan penganjuran tiga konsert mega pada bulan ini dan bulan depan sebelum aksi Piala AFF 2024 membuka tirainya, Disember ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima, tiga konsert mega itu membabitkan konsert Jelajah Dunia Jay Chou yang akan bermula 26 Oktober dengan dua lagi konsert mega akan turut menyusul selepas itu.

Berdasarkan penganjuran tiga konsert yang bakal menerima kunjungan puluhan ribu peminat, sudah tentu boleh mengakibatkan permukaan padang SNBJ rosak dan mengulangi isu "padang terkopak" yang pernah berlaku seperti sebelum ini.

 Menurut artikel dari BH Online, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil telah menjelaskan pihaknya sudah memiliki standard operasi prosedur (SOP) untuk memastikan permukaan padang tidak 'barai' sekalipun 'dihenyak' dengan tiga konsert secara berturut-turut.

"Perlawanan Piala AFF berlangsung Disember ini, jadinya kita ada lebih kurang tiga bulan dari sekarang untuk membetulkan padang. Setakat ini, ada tiga konsert akan berlangsung nanti.

"Sekarang ini, kita ada SOP baru untuk penganjuran konsert yang sememangnya tidak akan merosakkan padang. Antaranya adalah kita tidak membenarkan struktur berat di atas padang selain rumput hanya boleh ditutup dalam tempoh 24 jam saja.

"Kita sudah cuba SOP itu pada konsert AR Rahman dan Bruno Mars, ternyata padang dalam keadaan baik dan tidak bermasalah. Kita juga sudah sudah membeli penutup padang baru kerana yang lama sudah menjangkau usia 25 tahun," katanya.

Sebelum ini, penganjuran konsert di SNBJ telah menyebabkan keadaan padang berada dalam keadaan yang teruk dan telah menjejaskan aksi final Piala Malaysia 2023 yang berlangsung selepas konsert Coldplay, November tahun lalu.

Situasi sama turut berlaku ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman apabila padang sekali lagi berada dalam keadaan yang buruk selepas konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran berlangsung pada Februari.

Post a Comment

Previous Post Next Post